ARTIKEL

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu

Wanita Kena Tipu RM103,600 Cari Kerja Sambilan Mudah & Lumayan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hasrat seorang wanita untuk menambah pendapatan melalui kerja sambilan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM103,600 selepas terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian bermula pada 14 November lalu apabila mangsa berusia 43 tahun itu melihat tawaran kerja dalam kumpulan Telegram dikenali sebagai MLYR Group Chat.

“Tawaran tersebut mendakwa mangsa hanya perlu melengkapkan beberapa tugasan mudah melalui saluran WhatsApp untuk memperoleh komisen yang lumayan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian diarahkan untuk membuat beberapa pembayaran kononnya bagi mengaktifkan tugasan dan meningkatkan jumlah komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, tanpa menyedari ia satu penipuan, mangsa membuat sembilan transaksi ke tujuh akaun bank berbeza sebagaimana diarahkan.

Beliau berkata, setelah kesemua pembayaran dibuat, komisen yang dijanjikan tidak diterima dan pihak yang berurusan dengannya tidak lagi dapat dihubungi.

“Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis.

“Dalam pada itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuching telah membuka 48 kertas siasatan melibatkan modus operandi yang sama sejak 1 Januari hingga 20 November 2025.

“Jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan mencecah RM1.74 juta termasuk kes terbaharu ini,” katanya.

Beliau menambah, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Alexson menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap tawaran kerja sambilan di media sosial yang menjanjikan keuntungan luar biasa.

Katanya, semakan nombor akaun atau nombor telefon yang meragukan boleh dibuat melalui portal Semak Mule bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU