ARTIKEL

Wanita rugi RM485,832 ditipu skim pelaburan tidak wujud

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Hasrat seorang wanita tempatan untuk meraih keuntungan segera melalui pelaburan dalam talian berakhir dengan kerugian apabila menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dengan kerugian RM485,832.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kes berkenaan dilaporkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri pada 22 April 2026 selepas mangsa berusia 48 tahun menyedari dirinya diperdaya.

“Berdasarkan laporan, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di platform Instagram sebelum mengklik pautan yang disediakan dan seterusnya berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai “Han Zhi Hai” melalui nombor telefon antarabangsa.

“Mangsa kemudian diyakinkan dengan janji pulangan keuntungan dalam tempoh singkat, sebelum melakukan sebanyak 14 transaksi pemindahan wang di 12 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM485,832, berdasarkan arahan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Mohd Farhan menambah, kecurigaan mula timbul apabila mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan, namun pelbagai alasan diberikan oleh suspek sehingga akhirnya dia menyedari telah ditipu.

Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun, serta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Tasman bin Hukman di talian 014-8618690.

“Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Sebaliknya orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu melalui saluran rasmi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU