ARTIKEL

Warga asing miliki dadah ditahan di Pasar Lutong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Seorang lelaki warga asing ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan Pasar Lutong di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dilakukan sekitar 2.30 petang hasil risikan dan pemantauan pasukan polis.

“Pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemukan satu peket plastik lut sinar dan 18 keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 8.25 gram dan nilai rampasan dianggarkan RM950.

“Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut dan bakal dituduh di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun, dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali.

PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri terus komited membanteras penyalahgunaan dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan ini melalui Hotline JSJN 012-2087222 atau Hotline JSJN Sarawak 017-5929211. — TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU