SARATOK: Seorang lelaki berusia 78 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala apabila kereta Perodua Bezza yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di Kilometer 418.4 Lebuh Raya Pan Borneo arah Betong, berhampiran pusingan-P Simpang Saratok, hari ini.
Mangsa, Bohari Derahman dari Kampung Masjid Lama, Saratok, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, pemandu Bezza yang berusia 77 tahun dari Kampung Melango Lama turut mengalami kecederaan di kepala dan badan serta masih menerima rawatan di hospital yang sama.
Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.57 pagi ketika Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun sedang bergerak dari arah Sarikei di lorong kiri menghala ke Betong.
“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu pikap berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Bezza yang keluar secara tiba-tiba dari simpang pusingan-P,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bahagian bonet, cermin hadapan dan keseluruhan bahagian hadapan kenderaan.
Perodua Bezza pula mengalami kerosakan pada bahagian bonet, cermin hadapan serta kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan kedua-dua sisi kenderaan.
Mathew berkata, kes berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



