KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera selepas motosikal yang dinaiki pasangan berusia 75 dan 73 tahun itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Lundu-Sematan, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.10 pagi di Kilometer 8.5, kawasan pusingan U Kampung Sedemak, penunggang motosikal berusia 75 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata, sebelum kejadian, lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun sedang dalam perjalanan dari Ladang Abadi Utama, Kampung Sedaing menuju ke Pekan Lundu.
“Ketika tiba di kawasan pusingan U berkenaan, lori itu sedang keluar untuk memasuki laluan utama sebelum dirempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda yang bergerak lurus dari arah Sematan menuju ke Lundu,” katanya.
Tambah beliau, perlanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan maut di lokasi kejadian, manakala isterinya yang juga pembonceng mengalami kecederaan di kepala.
Katanya, wanita berusia 73 tahun itu dikejarkan ke Hospital Lundu oleh pasukan ambulans sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa lelaki dibawa ke bilik mayat Hospital Lundu bagi tujuan bedah siasat, manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk pemeriksaan PUSPAKOM, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



