ARTIKEL

Warga Emas Rugi Lebih RM100,000 Diperdaya Sindiket Tawar Perkhidmatan Baik Pulih Rumah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas kerugian RM108,400 selepas diperdaya sindiket tawaran perkhidmatan baik pulih rumah melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada Mac lepas, mangsa yang juga pesara telah dihubungi oleh individu tidak dikenali, yang menawarkan servis baik pulih rumah dengan kadar harga lebih murah berbanding pasaran.

Beliau berkata bagaimanapun untuk melancarkan urusan itu suspek mengarahkan mangsa yang berusia 61 tahun supaya membuka akaun bank baharu, dan memindahkan wang simpanannya daripada Tabung Haji ke akaun berkenaan.

“Ketika proses pembukaan akaun baharu, mangsa telah memasukkan maklumat nombor telefon dipercayai milik sindiket. Tanpa disedari tindakan tersebut menyebabkan sindiket dapat mengakses akaun itu serta membuat pindahan wang keluar tanpa pengetahuan mangsa.

“Mangsa menyedari ditipu setelah mendapati wang dalam akaun sebanyak RM108,400 lesap beberapa hari lepas. Setelah diperiksa, terdapat tiga transaksi ke tiga akaun tidak dikenali pada 10 Mac lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa membuat laporan polis pada 10.15 pagi semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi