MIRI: Seramai 19 kakitangan dan 86 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tegageng, Subis di sini terjejas susulan kenaikan paras air akibat hujan lebat berterusan semalaman.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri berkata, setakat ini paras air telah naik pada ketinggian sekitar lebih kurang tiga kaki.

“Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan paras air sungai di Batang Suai naik dan mulai melimpahi kawasan padang dan sekitar kawasan sekolah.
“Selain itu, kawasan asrama sekolah berkenaan serta jalan masuk utama dan kedua melalui Klinik Kesihatan Suai juga mulai dinaiki air.
“Hal ini menyebabkan sekolah tersebut tidak beroperasi pada hari ini, dan semua murid menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, keadaan buat masa sekarang masih selamat dan terkawal, namun warga sekolah termasuk murid-murid dinasihati untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan segera berpindah jika tidak selamat.



