PERTANDINGAN Keling atau lebih dikenali sebagai “Pekit Keling” dalam bahasa Iban terus menjadi antara acara kebudayaan yang mendapat perhatian masyarakat di Sarawak, khususnya ketika sambutan Gawai Dayak.
Pertandingan ini bukan sekadar mempamerkan keindahan pakaian tradisional lelaki Iban, malah menilai peserta dari segi penampilan, personaliti serta pengetahuan mengenai budaya dan adat resam masyarakat Iban.
Bagi anak muda, Mac Kim Ruudson, 23, penyertaannya dalam pertandingan tersebut pada tahun lalu merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.
Menurutnya, minat untuk menyertai pertandingan itu lahir daripada keinginan untuk memelihara serta mengangkat warisan budaya masyarakat Iban agar terus dikenali oleh generasi muda.
“Saya mahu mengekalkan tradisi adat asal bangsa Iban, khususnya dalam Pekit Keling sempena Gawai Dayak,” katanya ketika ditemui oleh Suara Sarawak baru-baru ini.
Tambahnya, sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi sumber kekuatan utama sepanjang penyertaannya, terutamanya ketika berdepan pelbagai cabaran.
“Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan sangat penting kerana mereka sentiasa memberi semangat agar saya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” jelasnya.
Menurut Mac, pertandingan Keling bukan sekadar acara biasa, sebaliknya sarat dengan nilai budaya dan jati diri yang perlu dihargai.
“Pada pandangan saya, nilai sebenar seseorang peserta bukan sahaja dinilai melalui penampilan, tetapi juga keperibadian, keberanian, pengetahuan budaya serta kemampuan membawa diri sebagai teladan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau turut berpandangan pertandingan Keling masih relevan hingga kini dan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Pertandingan ini masih relevan kerana Pekit Keling merupakan platform penting dalam memelihara budaya, di samping memberi peluang kepada generasi muda untuk memahami identiti sendiri dalam dunia moden,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan penyertaan golongan muda dalam pertandingan ini wajar digalakkan kerana ia menjadi medium penting untuk mendekatkan mereka dengan warisan budaya.
“Penyertaan generasi muda dalam pertandingan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk mengenali budaya sendiri, termasuk memahami penggunaan pakaian tradisional, membina keyakinan diri serta menjadi pelapis dalam memartabatkan budaya Iban,” katanya.
Dalam pada itu, Mac mendedahkan pengalamannya sepanjang menyertai pertandingan tersebut bukan sahaja mencabar, malah penuh dengan kenangan bermakna.
“Momen paling bermakna bagi saya ialah apabila dapat mendalami budaya sendiri dengan lebih dekat serta berpeluang tampil di pentas dengan mengenakan pakaian Ngepan Iban,” kongsinya.
Tambahnya, pengalaman tersebut membuka perspektif baharu mengenai peranan budaya dalam kehidupan generasi muda masa kini.
“Pengalaman ini menyedarkan saya budaya bukan sekadar tradisi, tetapi merupakan identiti yang perlu dihargai, dipelihara dan diteruskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penyertaannya dalam pertandingan itu banyak memberikan nilai positif dalam pembentukan diri.
“Antara nilai utama yang saya pelajari ialah keberanian, keyakinan diri, disiplin serta rasa tanggungjawab untuk membawa nama budaya sendiri dengan sebaik-baiknya.
“Pengalaman ini juga membentuk saya menjadi individu yang lebih berani, yakin serta menghargai budaya dan identiti diri sebagai anak Iban,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mac mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi sepanjang penyertaannya dalam pertandingan tersebut, khususnya sebagai peserta dalam kalangan golongan muda.
“Cabaran utama yang saya hadapi ialah membahagikan masa dengan baik, meningkatkan pengetahuan tentang budaya serta mengatasi rasa gugup dan tekanan sepanjang pertandingan,” katanya.
Menurutnya, setiap cabaran yang dilalui berjaya diatasi melalui disiplin diri, usaha berterusan serta sokongan daripada orang sekelilingnya.
“Saya menghadapi cabaran ini dengan membuat persediaan awal, banyak belajar daripada individu berpengalaman serta sentiasa membina keyakinan diri sebelum hari pertandingan,” kongsinya.
Tambahnya, pengalaman dalam pertandingan tersebut wajar dijadikan inspirasi kepada anak muda lain untuk turut serta.
Beliau percaya galakan kepada golongan muda untuk berani mencuba dalam pertandingan seumpama itu penting kerana ia bukan sekadar pertandingan, sebaliknya peluang untuk mengenali diri, memahami budaya serta membina keyakinan diri.
Mengulas tentang masa depan pertandingan tersebut, Mac berharap Pekit Keling akan terus berkembang selari dengan perubahan zaman tanpa mengabaikan nilai tradisinya.
“Saya berharap Pekit Keling akan terus berkembang sebagai platform untuk memperkenalkan budaya Iban kepada generasi muda, selain menjadi simbol kebanggaan masyarakat pada masa depan,” tegasnya.



