Sentuhan kraf tradisional Sarawak kini menerima nafas baharu menerusi teknik loom, iaitu satu inovasi sulaman manik yang mampu mengangkat reka bentuk motif etnik tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan berprestij.
Justeru, inisiatif Majlis Kraf Sarawak (SCC) membimbing peserta wanita di Kampung Stungkor Lama membuktikan warisan tradisi tidak perlu kekal dalam acuan lama, sebaliknya boleh dimodenkan untuk menembusi pasaran komersial dan industri fesyen global.
Manik dan masyarakat Sarawak sememangnya tidak dapat dipisahkan. Daripada hiasan kepala, busana tradisional hinggalah perhiasan diri, seni sulaman manik merupakan gambaran jiwa, identiti serta warisan budaya pelbagai etnik di Bumi Kenyalang.

Bagi memastikan warisan halus ini tidak lapuk ditelan zaman, majlis penutupan Bengkel Manik Teknik Loom baru-baru ini menyaksikan detik bersejarah buat komuniti Kampung Stungkor Lama, Lundu.
Dianjurkan oleh Majlis Kraf Sarawak (Sarawak Craft Council) dengan kerjasama Bidayuh Traditional Collection, program tiga hari ini menjadi medan untuk melahirkan pelapis baharu yang bakal memelihara dan sekali gus memodenkan seni kraf tempatan.
Tenaga pengajar utama, Johiam Jitui, yang berpengalaman belasan tahun mengajar kraf di bawah agensi Kerajaan Sarawak, bersama-sama pembantunya, Josephine Utik, membimbing peserta wanita sepanjang bengkel berkenaan.
Bengkel ini bukan sahaja menarik perhatian suri rumah sepenuh masa, malah turut disertai golongan belia dan lepasan sekolah yang sedang mencari arah kerjaya.
Menurut Johiam, pengenalan teknik loom memberikan dimensi baharu kepada pembentukan corak manik di Sarawak.


“Berbeza dengan teknik tradisional yang agak terhad dari segi ruang dan pembentukan corak, teknik loom membolehkan sesuatu reka bentuk dibentuk dengan lebih mudah, kemas dan menarik.
“Menerusi bengkel ini, kami memberikan kemahiran membuat gelang serta rantai pagiah Bidayuh kontemporari yang dihiasi corak etnik daripada pelbagai suku kaum seperti Iban dan Orang Ulu,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
Sepanjang tiga hari mengikuti bengkel itu, katanya, peserta didedahkan kepada disiplin asas yang ketat.
Hari pertama menyaksikan mereka mempelajari teknik memotong benang mengikut nisbah yang betul, mengikat benang pada kayu bingkai loom serta teknik menyulam manik dengan ketelitian tinggi.
Peserta turut diajar mengenal pasti kesilapan yang perlu dielakkan agar struktur sulaman kekal teguh.
Memasuki hari terakhir, tumpuan sepenuhnya diberikan kepada teknik kemasan akhir bagi memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi piawaian kualiti pasaran.

Mengimbas pengalaman sepanjang sesi latihan, Johiam tidak menafikan wujud pelbagai cabaran, terutama bagi peserta yang julung-julung kali terdedah kepada alatan loom.
“Ada peserta yang pada mulanya sukar memahami konsep ini walaupun telah diajar berulang kali. Ada yang hampir berputus asa.
“Namun, melihat tekad dan semangat ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka, kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil.
“Apabila teknik itu berjaya dikuasai dan mereka mampu menghasilkan kraf sendiri, rasa teruja dan gembira jelas terpancar pada wajah masing-masing,” katanya dengan penuh bangga.
Bengkel ini berjaya merapatkan jurang generasi menerusi pelibatan seramai 21 peserta wanita.

Peserta termuda, Shavika Shaney Domenic, berusia 18 tahun, mewakili golongan belia, manakala peserta tertua, Jirin Bon, berusia 63 tahun, membuktikan semangat menimba ilmu dan memelihara warisan manik tidak mengenal batas usia.
Selain berfungsi sebagai medium pemeliharaan identiti dan budaya merentas generasi, kemahiran tenunan manik teknik loom ini turut mempunyai potensi ekonomi yang luas untuk penduduk setempat.
Hasil kraf bercorakkan motif etnik Sarawak sentiasa mendapat tempat dalam kalangan penggemar seni dan pelancong, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk menjana pendapatan sampingan atau membina perniagaan sendiri.
Menyentuh langkah susulan selepas tamat bengkel, beliau menasihati peserta agar memanfaatkan kelebihan dunia digital dan tidak membiarkan kemahiran yang dipelajari terhenti setakat itu.
“Gunakan peluang dan kemudahan media sosial yang ada pada hari ini untuk memasarkan hasil karya. Dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan sedia ada, pasaran kraf kita bukan sahaja boleh menembusi peringkat negeri, malah berpotensi besar untuk melangkah ke peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Penganjur berharap agar bengkel dan kursus berimpak tinggi seperti ini diteruskan secara berkala demi memastikan generasi akan datang terus menghargai kraf warisan berkenaan.
Sarawak sememangnya terkenal di mata dunia dengan keunikan kraf manik yang pelbagai dan memikat hati.
Menerusi sentuhan generasi muda yang kreatif serta berani memanfaatkan teknologi masa kini, seni manik Sarawak akan terus mekar, memancar indah dan kekal relevan sepanjang zaman.



