Waspada penipuan penyamaran melalui telefon, ‘Phone Scam’ dan pinjaman tidak wujud

KUCHING: Penipuan penyamaran melalui telefon, ‘Phone Scam’ dan pinjaman tidak wujud menunjukkan trend peningkatan di Sarawak.

Justeru, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan ini.

“Walaupun nasihat dan peringatan sering kali dihebahkan oleh polis melalui media sosial dan akhbar-akhbar utama dari semasa ke semasa, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang masih terpedaya sehingga ditipu wang ringgit dalam sekelip mata oleh sindiket penipuan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi kes penipuan penyamaran melalui telefon, sebanyak 24 kes dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 31 Januari tahun ini, dengan nilai kerugian
melebihi RM252,000.

Katanya golongan mangsa adalah berumur antara 19 hingga 72 tahun, dengan lapan orang terdiri daripada pekerja swasta, seorang penjawat awam dan 15 orang yang merupakan bekerja sendiri, suri rumah termasuk penganggur.

Menjelas lanjut, beliau berkata modus operandi penipuan ini adalah suspek akan menghubungi mangsa sama ada melalui panggilan telefon atau mesej aplikasi sosial seperti WhatsApp, Wechat dan Facebook Messenger dengan menyamar sebagai rakan atau saudara terdekat mangsa.

“Suspek akan membuat cerita kononnya dia menghadapi kesusahan seperti dirompak, beg duit atau telefon bimbit hilang atau sebagainya, dan memerlukan bantuan mangsa untuk meminjamkan sejumlah wang.

“Mangsa tanpa ragu-ragu kemudian memasukkan atau memindahkan wang ke akaun individu tidak dikenali seperti yang diberikan suspek, dan mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah menghubungi rakan atau saudara terdekat mereka,” katanya.

Manakala bagi kes ‘Phone Scam’, Maria berkata sebanyak 10 kes dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 31 Januari tahun lepas dengan nilai kerugian melebihi RM132,000.

Katanya golongan mangsa adalah berusia antara 25 hingga 45 tahun, terdiri daripada empat orang adalah penjawat awam, empat orang pekerja swasta dan dua orang peniaga.

Jelasnya modus operandi sindiket Phone Scam adalah menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia, bank-bank komersial atau institusi kewangan dan sebagainya.

“Sindiket kemudian membuat pelbagai dakwaan untuk menakutkan mangsa seperti nama mangsa digunakan mendaftar sebuah syarikat yang mempunyai tunggakan
cukai, mangsa mempunyai tunggakan kad kredit atau pinjaman bank, terlibat kes jenayah, dadah, pengubahan wang haram dan lain-lain lagi.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat sesuatu bayaran ke akaun tertentu bagi menyelesaikan kes, atau memindahkan kesemua wang simpanan ke akaun pihak ketiga kononnya untuk memudahkan siasatan dan juga untuk mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh Bank Negara Malaysia serta untuk mengelakkan mangsa dikenakan cukai yang tinggi,” katanya.

Sementara bagi kes pinjaman tidak wujud, Maria berkata sebanyak 38 kes dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 31 Januari lalu, dengan nilai kerugian melebihi RM536,000.

Katanya empat daripada mangsa sindiket ini merupakan penjawat awam, 19 orang pekerja swasta dan 15 orang merupakan mereka yang bekerja sendiri, pesara, suri rumah, pelajar termasuk penganggur yang berusia antara 18 hingga 69 tahun.

Beliau berkata modus operandi sindiket ini adalah menawarkan pinjaman wang secara dalam talian melalui laman web, media-media sosial, aplikasi telefon
pintar atau SMS.

Justeru, Maria berkata orang ramai dinasihatkan menggunakan portal dan aplikasi ‘Semak Mule’ bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.

Selain itu, katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) di talian 013-211 1222.

“Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seumpamanya,” katanya.

Suara Sarawak