WIRDA Viviana membuka kisah silamnya apabila menjadi mangsa buli ketika berada di sekolah sukan.
Anak sulung kepada penyanyi dangdut Malaysia, Ani Mayuni, pernah menjadi mangsa buli ketika masih berada dalam pasukan bola jaring.
“Saya masih ingat wajah senior yang membuli saya ketika berada dalam pasukan bola jaring sewaktu di sekolah sukan,” katanya dalam video pendek audio siar Kita-Kita Aje yang dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi.
Tambahan pula, Viviana masih mengingati wajah pembulinya ketika kejadian itu berlaku.
“Saya ingat lagi, mulut saya disumbat dengan tudung, kemudian tangan saya dipegang pada kedua-dua belah oleh senior dan kaki saya diikat.
“Saya bergelut terlalu lama untuk melepaskan diri sehingga hampir sesak nafas,” tambahnya. Pada masa sama, Ani turut meluahkan rasa kecewa dan sedih terhadap perkara yang berlaku kepada anaknya.
“Ketika Viviana bercerita tentang apa-apa yang berlaku kepadanya, saya berasa sangat geram dan hati saya benarbenar terluka apabila anak saya diperlakukan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Viviana merupakan salah seorang peserta program Talk To My Manager 2 (TTM2). Penyertaannya dalam pertandingan itu disambut baik oleh sebahagian masyarakat kerana beliau dilihat lebih matang berbanding peserta lain.
Walaupun beliau dihina oleh orang ramai di pelbagai platform media sosial, beliau tidak berputus asa kerana baginya, dia pernah menghadapi cabaran yang lebih besar sebelum ini.
Video pendedahan kisah silam beliau boleh ditonton di YouTube podcast Kita-Kita Aje.



