ARTIKEL

Tangkap layar video X@CCTV_Plus

Xi bertemu Putera Mahkota Brunei di Beijing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping bertemu Putera Mahkota Brunei Darussalam, Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei di Beijing pada Selasa, sambil menyeru pengukuhan komunikasi strategik dan kerjasama praktikal, lapor Xinhua.

Xi berkata China dan Brunei merupakan rakan rapat dan mesra dengan Laluan Sutera Maritim menghubungkan kedua-dua negara.

Menurut beliau, kerjasama antara kedua-dua negara bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak, malah menjadi contoh hubungan saling menghormati dan kerjasama menang-menang antara negara berlainan saiz.

Xi berkata konsensus penting untuk membina komuniti China-Brunei dengan masa depan bersama yang dicapai bersama Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah tahun lalu, telah membuka lembaran baharu hubungan dua hala.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dua hala. Berdepan landskap antarabangsa yang semakin mencabar dan tidak menentu, kedua-dua pihak perlu menjadikan pembinaan komuniti China-Brunei dengan masa depan bersama sebagai panduan untuk memperkukuh komunikasi strategik dan kerjasama praktikal,” katanya.

Xi berkata tahun ini turut menandakan permulaan Rancangan Lima Tahun Ke-15 China bagi tempoh 2026 hingga 2030, manakala Brunei sedang menuju ke arah Wawasan Brunei 2035.

Beliau menggesa kedua-dua negara menjadikan perkara itu sebagai titik penumpuan untuk membawa kerjasama China-Brunei ke tahap lebih tinggi.

Menurut Xi, China dan Brunei perlu terus menjadi rakan strategik yang saling mempercayai serta menyokong antara satu sama lain.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital selain meneruskan projek kerjasama utama.

Xi juga menyeru kedua-dua pihak melaksanakan Inisiatif Peradaban Global secara bersama serta memperkukuh pertukaran budaya dan hubungan rakyat.

Selain itu, beliau menggesa China dan Brunei terus bekerjasama dengan negara ASEAN dalam membina komuniti China-ASEAN yang lebih rapat.

Sementara itu, Putera Mahkota Brunei menyampaikan salam Sultan Brunei kepada Xi dan menegaskan Brunei terus berpegang kepada dasar satu China.

Beliau berkata China memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan dunia serta mempertahankan multilateralisme dan ketertiban antarabangsa.

Menurutnya, Brunei amat menghargai visi pembinaan komuniti berkongsi masa depan untuk kemanusiaan serta Inisiatif Tadbir Urus Global yang dicadangkan Xi.

“Brunei berharap dapat bekerjasama rapat dengan China untuk memperdalam kerjasama ASEAN-China dan mengekalkan kemakmuran serta kestabilan serantau,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

‘Jangan sesekali menganggap tugas kita kecil’ – Iskandar

BINTULU: Komitmen dan dedikasi kakitangan sokongan antara pemangkin kecemerlangan institut pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam memastikan kelancaran operasi, keberkesanan pentadbiran dan kualiti penyampaian perkhidmatan. Ahli