Seramai 20 peserta menyertai Program Jelajah TVET anjuran Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu, baru-baru ini.
Program berkenaan bertujuan untuk memberi kesedaran serta menggalakkan lebih ramai golongan belia mengikuti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menawarkan peluang kerjaya lebih luas.
Ketua Unit Sosioekonomi YAKIN, Maliah Adenan berkata, program tersebut turut memperkenalkan kerjaya berasaskan TVET sebagai salah satu platform menjana pendapatan dan ekonomi, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
Menurut beliau, usaha berkenaan selaras dengan komitmen YAKIN dalam membantu kerajaan membasmi kemiskinan menerusi program terasnya dalam bidang pendidikan dan sosioekonomi.
“YAKIN telah beroperasi sejak 29 tahun sebagai sebuah NGO yang komited menyokong usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan menerusi program terasnya, iaitu Pendidikan dan Sosioekonomi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau berkata, promosi TVET merupakan antara program yang giat dilaksanakan oleh YAKIN dan mendapat sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
“Sebagai rekod, YAKIN juga telah mengadakan Program Jelajah TVET di TVET MARA dan Akademi Binaan Malaysia.
“Seterusnya, kita telah merancang untuk mengadakan Program Sembang TVET di beberapa agensi yang dipilih selain melaksanakan Program Diskusi TVET untuk Belia pada 30 September 2026 di Samarahan dan 3 Oktober 2026 di Lundu,” katanya.
Sehubungan dengan itu, belia yang tinggal berhampiran dengan lokasi program dijemput menyertai program berkenaan secara percuma bagi mendapatkan pendedahan dan maklumat lanjut mengenai bidang serta peluang kerjaya dalam TVET.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada urus setia, Nurul Nisaa Johan di talian 014-8796701 atau Fazlynn David di talian 011-11143869 atau melalui e-mel pentadbiranyakin@gmail.com.



