KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui Youthpreneur Hub pada tahun depan, yang dibangunkan melalui kerjasama sinergi dengan CENTEXS Commercial.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata hab itu akan menangani cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan, termasuk kekurangan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sesuai, peralatan bertaraf industri dan sokongan untuk pensijilan keselamatan makanan.
“Ia akan membolehkan usahawan menjalankan R&D produk, memperhalusi resipi, menguji jangka hayat produk serta membangunkan penyelesaian berasaskan makanan menggunakan kemudahan bertaraf industri.
“Yang paling penting, hab ini akan membantu mereka mendapatkan pensijilan seperti HACCP, GMP, MeSTI, Halal dan pelabelan nutrisi, sekali gus membolehkan produk mereka memasuki pasar raya, platform dalam talian dan pasaran eksport serantau,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Karim berkata Youth Entrepreneur Setup (YES) 3.0 akan diperluaskan ke lebih banyak daerah, memperkenalkan laluan khusus dalam teknousahawan, usahawan tani, perusahaan sosial dan industri kreatif.
Katanya ia bagi memastikan belia di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses kepada latihan berkaitan industri dan sokongan keusahawanan.
Sementara itu, beliau berkata selaras arahan daripada Mesyuarat Utama Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) Bil. 1/2025, kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), dan perbincangan awal telah dijalankan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Kerja.
Katanya jawatankuasa itu akan ditubuhkan untuk merangka garis panduan bagi meningkatkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam pembangunan permulaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME).
“Usaha ini menyokong pembentukan ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh dengan mempertingkatkan penglibatan pemain industri dalam permulaan MSME,” katanya.



