ARTIKEL

Zah Amirul kembali dengan identiti sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERNAH mengejar impian di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kuching, Zah Amirul kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya apabila memilih untuk kembali mengetengahkan identiti sendiri menerusi karya yang dekat dengan jiwa serta cita rasa muziknya. Anak jati Kuching berusia 35 tahun itu sebelum ini pernah mencuri perhatian menerusi pencarian Vokalis Peterpan Era dengan menggunakan nama pentas Hamzah.

Beliau bukan sahaja berjaya memenangi pencarian berkenaan, malah diberi peluang merasai pengalaman sebagai vokalis kumpulan itu untuk tempoh singkat ketika konsert di Kuala Lumpur.

Namun, pengalaman tersebut tidak membuatkan Zah selesa untuk terus bersandar pada nama yang pernah membawanya ke pentas berkenaan. Sebaliknya, beliau kembali menggunakan nama sendiri dan meneruskan langkah sebagai penyanyi solo menerusi Mengalah Melangkah, karya alternatif pop rock yang turut dipersembahkan dalam bentuk video muzik berkonsepkan drama dan ngeri (thriller).

Bagi Zah, lagu yang dilancarkan pada 29 Julai lalu itu hadir pada waktu yang cukup bermakna selepas lebih sedekad mengharungi pelbagai fasa dalam industri muzik.

“Saya mula menceburi industri muzik sejak 2015. Dulu saya di KL, tapi selepas kontrak habis dengan syarikat muzik di sana, saya balik ke sini. “Ada juga pergi semula ke KL untuk beberapa urusan, tapi saya lebih selesa menetap dan berkarya di sini,” ujarnya. Kembali ke Kuching bukan bermakna Zah memperlahankan langkah.

Beliau terus aktif sebagai penyanyi sepenuh masa, selain mencipta lagu dan mengadakan persembahan di restoran, kafe serta pelbagai acara tempatan.

Baginya, pentas kecil di sekitar Kuching mempunyai nilai tersendiri kerana di situlah beliau terus mengasah kemampuan, mencuba karya baharu dan berinteraksi secara langsung dengan pendengar.

Sepanjang perjalanan tersebut, Zah turut mengumpul beberapa pencapaian yang kekal menjadi kenangan dalam kerjayanya. Antaranya, beliau pernah bekerjasama dengan DJ Fuzz menerusi lagu Berat yang dinyanyikan oleh Mark Adam dan berjaya tersenarai dalam Muzik-Muzik Separuh Akhir 31 pada 2016. “Ia antara pencapaian terbaik saya dalam industri ini,” katanya.

Nama Zah sekali lagi menjadi perhatian ketika menyertai pencarian Vokalis Peterpan Era.

Menggunakan nama Hamzah, beliau berjaya memenangi pencarian berkenaan sebelum diberi peluang berdiri di pentas sebagai vokalis Peterpan ketika konsert kumpulan itu di Kuala Lumpur.

Walaupun pengalaman tersebut menjadi antara detik paling istimewa dalam perjalanan seninya, Zah tidak mahu ia menjadi satu-satunya perkara yang mengaitkan dirinya dengan industri muzik.

Kini, beliau mahu dikenali menerusi karya dan identitinya sendiri. Hasrat itu jelas diterapkan dalam Mengalah Melangkah yang membawa pengaruh alternatif pop rock dengan sentuhan gaya muzik Coldplay, sejajar dengan arah muzik pilihannya.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, karya tersebut turut diperluaskan menerusi video muzik yang menggabungkan muzik dengan penceritaan visual.

Diterbitkan oleh Monolog Film, video berkenaan mengangkat kisah seorang pembunuh upahan yang menerima arahan untuk menghapuskan seorang pemilik kafe.

Jalan cerita yang sarat dengan persoalan, konflik dan elemen dramatik itu memberikan warna berbeza kepada karya tersebut, sekali gus membawa penonton menyelami muzik Zah menerusi pendekatan yang lebih sinematik.

Video muzik itu diarahkan oleh Sol Naruddin daripada Monolog Films, manakala Sudirsobri Musar bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses penerbitan, selain bertindak sebagai pencipta lagu dan penerbit muzik bagi Mengalah Melangkah .

Watak utama pula dijayakan oleh Lorna Walter, pelakon baharu yang pernah menjadi finalis Miss Petite Continental Malaysia serta mempunyai pengalaman dalam bidang teater menerusi produksi Belawan Burieng.

Penghasilan video tersebut turut mendapat sokongan Kafe Muja Coffee dan Hypervision dalam usaha memperkukuh karya muzik tempatan. Menurut Zah, penggabungan muzik dan lakonan memberi ruang kepadanya untuk meneroka sisi kreatif yang lebih luas, apatah lagi kedua-dua bidang itu bukan sesuatu yang asing baginya.

Selain bergelar penyanyi dan pencipta lagu, beliau mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan televisyen dan teater, termasuk pernah terlibat dalam drama terbitan TVS. Pengalaman berada di hadapan kamera dan di pentas teater sedikit sebanyak membantu Zah memahami aspek emosi, perwatakan serta penceritaan yang kemudiannya diterapkan dalam pendekatan visual karya terbaharunya.

Sebelum Mengalah Melangkah, Zah menghasilkan beberapa karya termasuk Indah bersama-sama Asyraf Hardy pada 2014, Semua Ini Sama pada 2015, Hati pada 2019, Tentang Dia pada 2020, Warisan bersama Bakat Kamek dan Ampun pada 2021 serta Mencari Mimpi pada 2022.

Koleksi karya itu menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang Zah dalam membina identiti muziknya secara bebas dan konsisten.

Dalam tempoh tersebut, penampilannya turut mendapat perhatian apabila ada peminat menyamakan wajah atau gayanya dengan penyanyi popular Indonesia, Ariel NOAH.

Zah melihat perbandingan itu dari sudut positif, namun pada masa sama mahu terus dikenali berdasarkan identitinya sendiri. “Ramai yang cakap macam tu, tapi saya tetap jadi diri sendiri.

“Saya anggap itu satu pujian dan saya terima apa-apa saja yang dikatakan peminat selagi ia membina keyakinan dalam diri saya,” kongsinya. Kini, selepas melalui pelbagai pentas, pengalaman dan persinggahan sepanjang perjalanan muziknya, Zah tidak lagi terlalu mengejar soal sejauh mana namanya dikenali. Sebaliknya, beliau mahu terus menghasilkan karya yang mencerminkan dirinya, satu langkah demi satu langkah.

Seperti judul lagunya, Mengalah Melangkah, perjalanan Zah mungkin tidak sentiasa lurus, namun setiap pengalaman akhirnya menjadi sebahagian daripada proses untuk mengenali dirinya sebagai seorang pengkarya. Mengalah Melangkah kini boleh didengar di semua platform muzik digital.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU