KUCHING: Isu jerebu rentas sempadan akan menjadi antara perkara utama yang dibawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan dengan kepimpinan Indonesia di Jakarta, esok.
Ahmad Zahid berkata isu berkenaan akan dibincangkan dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia bersama-sama dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.
“Antara topik yang penting ialah masalah jerebu yang akan saya perbincang dan koordinasikan dengan Gibran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bencana Negara di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan mengadakan lawatan kerja ke Jakarta dari 17 hingga 20 September ini bagi menghadiri Persidangan Halal-20: The 5th World Halal Summit 2026 anjuran Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Republik Indonesia.
Justeru, Zahid merangkap Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menegaskan isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani menerusi pendekatan pencegahan dan koordinasi jangka panjang antara negara jiran, berbanding hanya mengambil tindakan selepas keadaan menjadi serius.
Beliau menegaskan langkah proaktif penting bagi mengelakkan isu jerebu berulang setiap tahun sehingga menimbulkan kesan kepada masyarakat dan ekonomi.
Justeru, katanya koordinasi antara negara perlu diperkukuh terutama dalam aspek kebakaran hutan, jerebu dan bencana lain yang mempunyai kesan merentasi sempadan.
“Langkah-langkah proaktif wajib dilakukan oleh antara negara-negara anggota ASEAN terutama apabila ia melibatkan soal banjir, soal kebakaran, soal jerebu dengan sebuah negara jiran,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid berkata Malaysia sebelum ini melaksanakan beberapa operasi pembenihan awan dan koordinasi jangka panjang dengan Indonesia akan terus dilakukan.
Katanya, sebarang bantuan atau operasi pembenihan awan melibatkan negara lain tertakluk kepada permintaan serta kebenaran negara berkenaan.
“Mesyuarat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Bali baru-baru ini ada membincangkan perkara berkenaan, tetapi tidak ada keputusan muktamad diberikan oleh negara berkenaan. Jadi saya akan lakukan tindakan susulan esok,” katanya.



