ARTIKEL

Zikir Maulud eratkan ukhuwah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Alunan selawat dan zikir memuji keagungan junjungan besar Nabi Muhammad SAW bergema indah di Surau Wakaf Darul Rahmat, Kampung Bako Hilir.

Majlis zikir Maulud yang diwarisi turun-temurun ini sekali lagi membuktikan bahawa tradisi keagamaan tempatan berupaya menjadi wadah penyatuan masyarakat yang kukuh.

Setiap kali tiba bulan kelahiran Rasulullah SAW, suasana kampung nelayan ini menjadi meriah dengan kehadiran penduduk setempat dan tetamu jemputan yang berhimpun bagi mengimarahkan majlis.

Bagi warga Bako Hilir, sambutan ini bukan sekadar majlis ibadah tahunan.

Sebaliknya, majlis tersebut menjadi wadah murni yang melambangkan keharmonian, kesyukuran dan kekuatan ukhuwah Islamiah.

Semangat bergotong-royong jelas terserlah apabila seluruh warga kampung berganding bahu membuat persiapan dari awal hingga akhir majlis, sekali gus menghidupkan semula semangat muafakat yang menjadi pegangan masyarakat terdahulu.

Keunikan majlis ini terletak pada kepelbagaian juadah yang dihidangkan selepas sesi berzikir. Hampir setiap keluarga di kampung ini mengambil bahagian dengan menghantar pelbagai hidangan dari dapur masing-masing ke surau.

Memandangkan kawasan ini terkenal dengan komuniti nelayan, hidangan berasaskan hasil laut segar menjadi sajian utama yang memeriahkan suasana.

Menariknya, wujud “persaingan” mesra dalam kalangan penduduk untuk menyediakan hidangan yang paling enak dan sempurna.

Namun, persaingan tersebut langsung tidak berkaitan dengan sifat riak atau menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya, ia melambangkan keikhlasan hati untuk bersedekah, berkongsi rezeki serta memuliakan tetamu yang hadir.

Pelbagai hidangan berasaskan hasil laut yang disediakan dengan rapi dihidangkan untuk dinikmati bersama-sama tanpa mengira latar belakang.

Juadah istimewa yang dihimpunkan ini bukan sahaja dikongsi sesama penduduk kampung, malah dihidangkan dengan penuh penghormatan kepada kumpulan zikir tempatan yang dijemput khas dari masjid dan surau berdekatan bagi memeriahkan majlis.

EMPAT KUMPULAN ZIKIR PADUKAN SUARA

Keberkatan dan kemeriahan majlis kali ini semakin terserlah dengan penyertaan empat kumpulan zikir dari kawasan sekitar.

Kehadiran kumpulan dari Masjid Al-Hidayah, Masjid Imaddudin, Surau Darul Ibadah dan Surau Al-Falah memberikan kesan kerohanian yang mendalam kepada majlis tersebut.

Gabungan alunan suara daripada kumpulan zikir berkenaan memenuhi ruang Surau Wakaf Darul Rahmat dengan suasana penuh keinsafan dan ketenangan.

Suasana siang yang diserikan dengan alunan selawat mewujudkan suasana kerohanian yang mendamaikan, sekali gus menyatukan hati setiap insan yang hadir dalam kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Pengerusi Surau Wakaf Darul Rahmat, Tajudin Mali, melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran majlis tersebut.

Menurut beliau, tradisi turun-temurun itu membawa nilai murni yang besar dan perlu dipertahankan sepanjang zaman.

“Kita bukan sahaja berkumpul untuk berzikir dan berselawat, tetapi turut berkongsi rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

“Setiap keluarga menyumbang hidangan mengikut kemampuan masing-masing dan semuanya dilakukan dengan penuh keikhlasan demi memperoleh keredaan-Nya,” kata Tajudin.

Beliau turut menekankan amalan sebegini menjadi wadah untuk mendidik generasi muda agar memahami dan menghayati jati diri masyarakat Melayu-Islam.

Menurutnya, nilai murni seperti semangat bergotongroyong, amalan bersedekah, memuliakan tetamu serta hidup bermuafakat tidak boleh dipelajari secara teori sematamata.

Sebaliknya, nilai tersebut perlu disaksikan dan dirasai sendiri oleh generasi muda menerusi majlis seumpama ini.

Tambah beliau, kekuatan sesebuah kampung bukan sahaja diukur berdasarkan pembangunan fizikal atau kemudahan infrastruktur, tetapi turut bergantung pada keakraban hubungan dikurniakan serta tunjang perpaduan masyarakat setempat.

Justeru, tradisi yang sarat dengan nilai murni ini wajar terus dipelihara oleh pihak Surau Wakaf Darul Rahmat dan seluruh penduduk Kampung Bako Hilir agar warisan berharga tersebut tidak ditelan zaman serta terus diwarisi oleh generasi akan datang.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU