ASAJAYA: Zone SQ mengungguli saingan Pertandingan P197 E-sport Reborn PUBG Mobile 2026 selepas mengumpul 124 mata keseluruhan dalam persaingan membabitkan 17 pasukan dan 90 pemain di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu, pada Ahad.
Zone SQ mengumpul 124 mata keseluruhan termasuk 96 mata penyingkiran serta satu Chicken Dinner dalam enam peta untuk membawa pulang hadiah RM1,500 berserta piala.

Pemain Zone SQ, Zamarul Hazri atau lebih dikenali dengan nama dalam permainan ‘ZyyBakery’ turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Kategori Penyingkiran Terbanyak selepas mengumpul 30 mata penyingkiran, sekali gus menerima hadiah RM200.
Sementara itu, Team Flash menduduki tempat kedua dengan 70 mata keseluruhan dan membawa pulang RM1,000 berserta piala, manakala Six Se7en di tempat ketiga selepas mengumpul 63 mata termasuk satu Chicken Dinner menerima RM800 dan piala.

Manakala pemenang tempat keempat hingga kelapan pula masing-masing menerima RM100.
Pengerusi pertandingan, Salleh Chiew berkata, sambutan kejohanan berkenaan amat menggalakkan sehingga memenuhi kapasiti lokasi dengan penyertaan 90 pemain.

“Harapan saya agar pihak kementerian terus memberi perhatian dengan perkembangan sukan elektronik dalam kalangan belia dan remaja.
“E-sukan bukan sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, malah mempunyai potensi menjana pendapatan kepada golongan belia,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Salleh berkata, kejohanan itu diharap menjadi wadah kepada belia setempat untuk mengembangkan bakat dalam bidang e-sukan secara lebih terarah menerusi aktiviti yang sihat dan produktif.
“Kita juga berharap pihak kementerian berkaitan dapat memberi perhatian cadangan dan kertas kerja yang dikemukakan NGO seperti kami demi memperkukuh pembangunan e-sukan dalam kalangan belia.
“Usaha ini adalah untuk mengembangkan sukan tempatan dan mengasah bakat anak-anak yang berpotensi,” katanya.
Kejohanan anjuran Kelab Sukan Elektronik Samarahan (KS E-Sport) bersama Muara Tuang E-Sport itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Asajaya Hulu.
Selain penyertaan pasukan dari sekitar Kuching dan Samarahan, dua pasukan tuan rumah turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.






